Monday, January 19, 2009

Pelabuhan Swettenham Dijangka Terima 300,000 Pelancong Kapal Mewah


Pelabuhan Swettenham Dijangka Terima 300,000 Pelancong Kapal Mewah Jika Naik Taraf

PULAU PINANG, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menaiktaraf Pelabuhan Swettenham di sini bagi menerima kemasukan kira-kira 300,000 pelancong kapal mewah antarabangsa setahun berbanding kira-kira 100,000 setahun sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Mesra Pelancong Pulau Pinang Cheang Chee Gooi berkata cadangan untuk menaiktarafkan pelabuhan itu kini di peringkat perbincangan oleh kerajaan negeri.


Ketika ini kebanyakan kapal layar bersaiz besar enggan berlabuh di pelabuhan ini kerana perairan sekitar pelabuhan itu cetek dan ia membahayakan keselamatan penumpang yang terpaksa dibawa dari kapal layar ke pelabuhan menggunakan bot kecil, katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 1,550 penumpang kapal mewah MV Pacific Sky di pelabuhan itu di sini Rabu.

Cheang berkata bulan ini, Pulau Pinang menerima kemasukan 7,322 penumpang kapal layar mewah antarabangsa menerusi ketibaan empat kapal layar iaitu MV Aurora yang berlabuh Selasa, MV Pasific Sky yang berlabuh hari Rabu, MV Oriana yang akan berlabuh 17 Mac ini dan MV Queen Elizabeth yang akan berlabuh 22 Mac ini.

Beliau berkata upacara sambutan tradisi penumpang kapal mewah antarabangsa itu bertujuan mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk para penumpang dari luar negara seperti Eropah, Australia dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengurus Operasi agensi pelancongan Pasific World Lawrence Pakiathan berkata sebanyak 21 buah bas persiaran dan 55 buah beca disediakan untuk penumpang kapal layar mewah itu untuk melancong di negeri ini.

Katanya syarikatnya menyediakan tiga pakej pelancongan berharga antara RM50 dan RM200 bagi mengelilingi bahagian pulau dalam tempoh separuh hari, sehari atau mengelilingi sebahagian pulau.

Pengerusi Persatuan Beca Georgetown, Koay Beng Heng berkata kedatangan pelancong seumpama itu membantu menambah pendapatan pengayuh beca di negeri ini.

"Tahun lepas pendapatan pengayuh beca agak kurang kerana kurang pelancong, tetapi sekarang kerajaan buat macam-macam promosi pasal Pulau Pinang dan ramai pelancong yang datang ke negeri ini," katanya.

Sumber : BERNAMA


Tarikh akhir kemaskini: 08/08/2007

No comments:

Bait-bait Mu'jizat